Followers

Sunday, August 29, 2010

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA


















Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-53 yang akan disambut pada 31 Ogos 2010 ini ... saya ingin mendedikasikan sebuah SKETSA untuk tatapan dan renungan bersama ......



SKETSA PERJALANAN SEBUAH KEJAYAAN

Kurun ke-15…..
Seorang Raja yang diusir dari kerajaannya
Melangkah……dalam kabut mencari
Sirna kegemilangan yang hilang…..
Sambil… merenung jauh ke dalam dirinya……
Mengapa aku jadi begini? Apa salahku?
Oh, mungkin selama ini aku lupa !
Bahawa kekuasaanku tidak ke mana…….

Parameswara…….
Ketika duduk berehat
Dari perjalanan yang jauh…
Terpaku melihat anjing kesayangan
Yang tiga ekor itu
Tumpas diterajang Sang Pelanduk Putih
Yang cilik……

Dari kekaguman itu… bertanya Sang Raja
Kepada Memanda Menteri yang setia….

Pokok apakah gerangannya tempat Beta bersandar ini?

Ampun Tuanku…. Dalam pengetahuan patik, pokok itu pokok Melaka , Tuanku.

Beta ingin membuka kerajaan di sini dan beta namakan kerajaan ini kerajaan Melaka.

Kini…. Sekurun telah berlalu…..
Kerajaan Melaka , kerajaan bertuah.
Empayarnya begitu gah….
Acheh… Kepulauan Riau…. Seluruh Semenanjung Emas dijajah.
Siapa yang tidak kenal pelabuhan Melaka?
Namanya tersohor di seluruh pelusuk dunia.

Hinggakan…
Raja yang bertakhta di negara atas angin….
Hatinya semakin gundah, cemburu , marah…
Lantaran Pelabuhan Lisbon mula dilupakan.

“Lopez De Sqeira …..pergi kau ke Melaka….
Intip kekuatannya……. Beta mahu Melaka yang gemilang itu menjadi jajahan Beta.”


Pada tahun 1511….
Berangkatlah Alfonso De Alburqaqeu…
Bersama bala tentera dengan tekad dan tujuan...

Kita hapuskan kerajaan Melaka….
Hapuskan kegemilangannya….
Kita hapuskan bangsanya….
Kita takluk mereka……

Sejarah sentiasa berulang…….
Jika dahulu… Parameswara pernah lupa….
Kini Sultan Mahmud juga alpa….
Bezanya……
Parameswara dapat bangun dalam kesedaran…
Namun Sultan Mahmud diusir dalam kehinaan…..

Batu-batu nesan dan dinding-dinding masjid …
Menjadi saksi….
Di atas bangunnya sebuah Kota A- Farmosa….
Portugis bermaharajalela….
Dek khianatnya Raja Mandeliar…
Yang berpaling tadah ……
Membuka pintu kota…….

Apakah kalian masih mahu mendengar aku bicara…?
Bagaimana perjalanannya sebuah kejayaan ?

Kurun ke-19……
Kerajaan Kedah…..
Yang merasakan dirinya kerdil dan lemah….
Meminta bantuan Inggeris yang helah….
Dari ancaman Siam yang dianggap gagah.

Pulau Pinang…..
Maruahmu jadi pertaruhan….
Francis Light meminta habuan….
Dari bantuan yang dihulurkan.


Di Perak……
Di negeri bertuah ini…….
Di negeri pewaris kerajaan Melaka.
Namun nasibmu sama ……
Kerana….
Ada petualang yang sanggup……
Mengkhianati……
Negaranya…. Bangsanya…dan agamanya….

Raja Abdullah…
Kerana kecilnya jiwamu…
Sanggup kau ranapkan …
Harapan rakyat yang besar ini.

Namun…
Tuhan itu maha adil…….
Segala dalam pengetahuannya…
Jika kau lemah….
Masih ada yang kuat semangatnya…
Pantang tunduk kepada penjajah.
Apatah lagi kepada Birch yang angkuh itu…
Yang tidak tahu adat susila….
Harta kekayaan ingin dijadikan miliknya….

Akhirnya…
Hayat Residen Inggeris angkuh itu…
Tamat di tangan Puntum….
Orang biasa ….
Yang punya jiwa luar biasa…
Al-kisah… tugas terlaksana ……
Atas arahan Datuk Maharaja Lela……


Raja Abdullah…
Aku ingin bertanya……
Ke mana pergi seterumu ?
Kau lupa ?
Orang putih itu !
Berbalaskah budi mu?
Mengapa engkau juga terdampar ..
Di pulau yang terpencil ini…..

Dengar kataku…
Itulah balasan bagi pengkhianat bangsanya…

Datuk Maharaja Lela… Puntum…..
Kami relakan pemergianmu…..
Kau berdua adalah pejuang sejati….
Sama seperti yang lain….

Datuk Bahaman…. Mat Kilau…. Tok Janggut
Tok Gajah…… Rentap….. Dol Said…..
Datuk Kelana Sungai Ujung….

Mereka juga…. pejuang sejati….
Pepatah dipegang erat…
Biar putih tulang ,jangan putih mata.

++
Telah jauh perjalanan kita….
Manakah kejayaan yang kau katakan?

Sabar dahulu sahabatku…..
Bukan kejayaan itu …….
Tidak datang dengan sekelip mata…..

++

Kurun ke-20………
Seluruh Tanah Melayu dijajah…
Hilang sudah semangat Hang Tuah…..
Rakyat menjadi hamba di tanah sendiri……

Dalam kekalutan dan kebingungan itu…
Dari kejauhan terdengar……..
Bisikan gelombang yang datang…
Dari arah matahari terbit….
Katanya … Asia untuk Asia……
Kami akan bantu peribumi memerintah negaranya….

Kehadiran Jepun ditunggu penuh harap….
Moga Inggeris akan lenyap…….

Orang dahulu ada berkata…
Burung terbang…jangan dipipiskan lada……

Jepun….
Rendah…kecil molek bangsanya….
Namun….. pedang…. sepak terajang …
Adalah bahasanya
Rakyat diherdik….
Melawan…dipancung…..
Peribumi tertindas lagi……

Jati diri bangsa telah lama hilang……
Memohon Inggeris segera pulang…...

Kita lupa…..
Merekalah sebenar-benar petualang……

Kembalinya Inggeris dengan penuh…
Kesombongan……..
Ingin merampas hak peribumu…..
Raja dan sultan ingin dipinggirkan…
Malayan Union dilaksanakan….

Orang Melayu bangun…
Menentang…
Rupanya masih ada sisa-sisa ………
Semangat perjuangan Mat Kilau , Puntum dan
Lainnya
Sederap langkah, seia-sekata……

Akhirnya….
Penjajah akur …….
Tanah ini milik kita……


Setelah hampir 450 tahun……..
Dijajah……..
Pada tanggal 31 Ogos 1957….
Bergemalah kalimat sakti…..
MERDEKA….MERDEKA….MERDEKA…
Dan bermulalah …
Perjalanan Sebuah Kejayaan………..

Sekian….

Hasil Nukilan:

Rafi MN. Ogos 2010
( feldatrolakselatan.blogspot.com )

2 comments: