Followers

Saturday, January 14, 2012

AROH GANAL - JAMUAN RAKYAT 1 MALAYSIA DI JALAN BANJAR ....


Dua buah helikopter yang membawa rombongan Perdana Menteri mendarat di padang Sekolah Menengah Abu Bakar Al-Baqir yang terletak kira-kira 3 kilometer daripada Jalan Banjar ..


Aroh Ganal, penduduk dan menu Banjar nanti PM di Bagan Serai


2012/01/14
BAGAN SERAI: Bagaikan satu pesta, suasana di Jalan Banjar, Kampung Masjid Tinggi di sini yang akan menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena program Kenduri Rakyat hari ini begitu meriah dengan penduduknya melakukan pelbagai persiapan.

Aroh Ganal, mungkin pelik bagi sesetengah orang tetapi ungkapan yang bermaksud "kenduri besar" itu menjadi sebutan penduduk yang majoritinya adalah daripada etnik Banjar ketika sibuk membuat persiapan menunggu pemimpin utama itu.
Sejak awal pagi, persiapan memasak dimulakan dengan lima ekor lembu disembelih untuk dijadikan menu utama masakan, khususnya "ampal" atau masak kurma daging yang menjadi makanan tradisi masyarakat Banjar, etnik utama di kalangan lebih 2,000 penduduk daripada 470 keluarga di kampung itu.
Penyelaras jamuan, Zainal Abidin Hanafiah berkata, bagi memastikan program berjalan lancar, petugas masakan dibahagikan kepada empat kumpulan diketuai empat katering anak tempatan kampung berkenaan.

Beliau berkata, seramai 38 tukang masak terbabit dalam menyediakan makanan utama yang biasa didapati di majlis-majlis keraian di daerah itu, iaitu gulai kawah, ampal, sayur serta ulam-ulaman.

Menyifatkan penduduk kampung sebagai bertuah kerana Perdana Menteri sendiri yang memilih kampung itu sebagai lokasi Kenduri Rakyat, Zainal yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol berkata, program tidak bersifat kepartian itu turut mendapat sokongan penuh pembangkang khususnya PAS yang sama-sama terlibat dalam merangka atur cara majlis.

"Perdana Menteri sendiri yang pilih tempat ini kerana beliau nak lihat dan bertemu muka penduduk kampung Masjid Tinggi. Jadi kami sama-sama berbincang untuk jayakan majlis ini kerana PAS juga menganggap sebagai pemimpin nombor satu negara, kedatangan PM perlu disambut secara bersama," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Zainal berkata, untuk majlis itu, anggota jawatankuasa masjid Kampung Masjid Tinggi diberi keutamaan untuk bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri secara tertutup ketika singgah untuk menunaikan solat Zohor sebelum hadir ke kenduri rakyat yang terletak kira-kira 300 meter dari situ.

Katanya, pada program yang menyasarkan kehadiran 5,000 penduduk itu Perdana Menteri akan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melawat Galeri Banjar yang terletak bersebelahan masjid yang antara lain menempatkan al-Quran lama bertulis tangan dalam bentuk gulungan.

Beliau berkata, galeri tersebut merupakan sebuah masjid papan yang dibina daripada kayu yang dibawa dari Kalimantan, Indonesia, juga dipercayai sebagai masjid pertama yang di bina di daerah Bagan Serai.

Penghulu Mukim Bagan Serai, Azhari Saad berkata, kunjungan Najib adalah satu sejarah kepada daerah, kampung dan penduduk di situ kerana ia adalah kunjungan pertama seorang pemimpin negara bergelar Perdana Menteri.

Beliau berkata, kunjungan Perdana Menteri itu bukan bersandarkan kepada matlamat politik sebaliknya diatur atas permintaan Najib untuk bertemu dan berjumpa penduduk setempat dengan harapan pertemuan terbabit dapat mengeratkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat dan sesama penduduk.

"Dengan pendekatan itu saya lihat semua penduduk daripada pelbagai lapisan termasuk fahaman politik menerima baik program ini malah mereka turut sama menjayakan sejak dari awal program dirancang," katanya.

Kenduri Rakyat itu satu daripada atur cara Perdana Menteri sempena tinjauan mesra beliau ke beberapa kawasan Parlimen di negeri ini termasuk merasmikan Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan di Parit Buntar. - BERNAMA


2 comments:

  1. KAN 2012 NI TAHUN MELAWAT PERAK...OO..OO.SILAP...TAHUN NAJIB MELAWAT PERAK BERKALI2222

    ReplyDelete