Artikel ini sengaja saya muatkan dalam blog ini sebagai tanda sokongan terhadap pandangan Tun M agar tidak hilang atau dilupakan ......
PAU : ARTIKEL MANTAP TUN M.
1. Perutusan ini ditulis kerana saya tidak dapat hadir di
Mesyuarat Agong UMNO kerana berada di luar negara. Tetapi kerana saya kurang
sihat untuk keluar negara, saya mungkin hadir Insya'allah! Walaubagaimanapun
saya ingin membuat kenyataan ini juga.
2. Sebagai orang tua, dan orang tua UMNO pula, izinkanlah
saya memberi sedikit pandangan.
3. Semua tahu UMNO sekarang tidak popular seperti UMNO
dahulu. Ada yang berkata UMNO tidak lagi relevan.
4. Sedikit sebanyak pandangan ini berasas. Jika UMNO
dikalahkan dan hilang dari muka bumi, kepimpinan dan ahli UMNO tidak boleh nafi
sumbangan mereka kepada kejatuhan parti yang begitu berjasa kepada Melayu dan
negara Malaysia.
5. Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh pemimpin dan
ahli UMNO?
6. Pada pandangan saya, yang pertama ialah kerana menganggap
UMNO sebagai batu loncatan untuk perkaya diri sendiri.
7. UMNO hanya menerima ahli baru yang tidak mengancam
kedudukan pemimpin yang sedia ada di semua peringkat.
8. Cawangan tidak terima sesiapa yang berkebolehan mencabar
Ketua Cawangan. Ini adalah oleh kerana ada habuan bagi Ketua Cawangan.
9. Oleh itu yang dapat masuk UMNO hanyalah orang Melayu yang
kurang berbakat daripada Ketua Cawangan. Apabila Ketua Cawangan meninggal,
penggantinya ialah orang yang lebih lemah daripadanya.
10. Pengganti pun demikian. Hanya yang tidak punyai
kebolehan yang lebih daripadanya sahaja yang diterima. Apabila dia kembali ke
rahmatullah, yang mengganti lebih lagi lemah.
11. Dan seterusnya. Kepimpinan di peringkat cawangan dan
bahagian semakin lama semakin lemah dan tidak berupaya memimpin. Sebab itulah
apabila ditanya siapa yang akan jadi Menteri Besar Selangor jika Barisan
Nasional menang, tidak ada jawapan. Walhal Selangor penuh sesak dengan Melayu
yang terpelajar, berbakat, sudah kaya dan tidak perlu memperalatkan UMNO untuk
perkaya diri sendiri. Mereka ini tidak boleh masuk UMNO. Yang sedikit yang
dapat masuk akan disekat kenaikan sebagai pemimpin.
12. Budaya war lord (kepala perang) sudah meresap kedalam
UMNO. "UMNO saya punya." " Bahagian ini saya punya."
13. Kerana kecewa ada yang berbakat dan berjiwa UMNO
menyertai parti lain. Maka akan merosotlah UMNO dan akan hilanglah parti
keramat ini.
14. Yang kedua ingin saya tekan akan pentingnya menegur
pemimpin. Tunku, Tun Razak, Tun Hussein bukan sahaja ditegur bahkan dicabar.
Saya diserang dan hampir kalah dalam pertandingan.
15. Tanpa teguran pemimpin akan percaya segala yang
dilakukan olehnya betul belaka. Tetapi sebenarnya ada yang dilakukan olehnya
salah dan tidak baik.
16. Saya dinasihat supaya tidak membuat teguran terbuka.
Sebenarnya sudah saya tegur secara tertutup berkali-kali, terutama berkenaan
masalah Bumiputra dan UMNO. Tetapi tidak berkesan. Teguran secara terbuka
terpaksalah dibuat.
17. Harapan orang Melayu ialah wakil-wakil ke Perhimpunan
UMNO akan buat teguran terhadap beberapa perkara yang hangat dibincang ramai
sekarang.
18. Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat
pandangan wakil. Janganlah selalu mendengar orang tertentu yang dikeliling kita
sahaja. Yang mengeliling orang yang berkuasa tidak baik bagi mereka.
19. Orang Melayu mungkin tidak pandai seperti pakar-pakar
rujuk, tetapi saya percaya orang Melayu tidak bodoh. Mereka yang membangunkan
negara dari sebuah negara miskin kepada negara yang memberi banyak nikmat
kepada semua.
20. Selamat Bersidang UMNO. Mudah-mudahan diberi petunjuk
oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.