Followers

Wednesday, June 15, 2011

APALAH UNDANG-UNDANG & PERATURAN BAGI MEREKA ...



Sejak kebelakangan ini, Trailer yang sarat dengan lebihan muatan kayu getah sering lalu di perkampungan Trolak Selatan ini. Saya difahamkan bahawa kayu getah ini diangkut dari Felda Trolak Timur untuk dibawa ke tempat pemprosesan. Keadaan muatan yang ekstrem berlebihan itu membahayakan pengguna jalan yang lain lebih-lebih lagi apabila melalui kawasan perkampungan.

Sebagai contoh, pada pagi tadi (15/6/2011) kira-kira jam 11.10 pagi, sebuah daripada trailer berkenaan telah lalu melintasi hadapan sekolah. Oleh sebab muatan yang berlebihan menyebabkan ketinggian trailer tersebut melebihi had yang sewajarnya. Akibatnya, talian telekom yang merintangi jalan untuk kegunaan sekolah telah terputus apabila tersangkut dengan muatan trailer apabila melintasi kawasan hadapan sekolah.

Pemandu trailer yang kemudiannya turun meninjau keadaan seolah-olah tidak berasa bersalah apabila dimaklumkan bahawa talian telefon ke sekolah telah terputus sebaliknya beliau menyatakan bahawa itu bukanlah masalah beliau dan pihak sekolah hanya perlu memaklumkan kepada pihak TELEKOM.

Apa yang menjadi persoalan di kalangan masyarakat ialah bagaimana trailer seperti ini dapat bergerak dengan bebas di jalan-jalan raya tanpa ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa. Adalah mustahil pihak berkuasa tidak menyedarinya kerana aktiviti ini telah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu.

Janganlah salahkan masyarakat jika kredibiliti dan intergriti pihak berkuasa seperti pihak polis,Polis Trafik dan JPJ dipertikaikan. Apakah gejala sogok, rasuah dan duit kopi masih berleluasa dalam jabatan ini. Tidak cukup lagikah kenaikan gaji dan pelbagai elaun untuk kakitangan di jabatan ini sehingga gejala negetif ini masih berleluasa. Masyarakat hanya menilai dengan apa yang mereka lihat dan dengar dan sekiranya apa yang dilihat itu sama dengan apa yang didengar maka kesimpulan mudahnya ialah gejala tersebut memang berlaku.

Akhirnya, apakah budaya ikan jerung dan taukeh-taukeh besar kebal dengan undang-undang dan peraturan masih berlaku...... hanya kakitangan jabatan yang terlibat sahaja yang tahu. Selagi aktiviti seperti ini kelihatan bergerak bebas, maka tanggapan negetif masyarakat terhadap intergriti pihak berkuasa akan terus dipertikaikan.




No comments:

Post a Comment